Kehidupan sebagai suami isteri adalah perkongsian. Salah seorang melengkapkan separuh agama pasangannya dan membantunya melengkapkan yang separuh lagi.
“I love you!”
Perkongsian ini dibuat berdasarkan kitab Allah dan sunnah Rasulullah saw. Agar perkongsian ini berterusan, ia perlu kepada kasih sayang yang boleh melakukan pelbagai mukjizat. Suami menanggung beban paling berat kerana dia adalah nakhoda kepada bahtera kehidupan berumah tangga. Dialah yang bertanggung jawab memandu bahtera tersebut sama ada ke arah kejayaan atau kegagalan.
Perkataan ‘I love you’ banyak kali diucapkan sebelum berkahwin. Berapa kali pula ia diucapkan selepas berkahwin? Perkataan itu juga banyak kali ditulis di atas kad-kad ucapan sebelum berkahwin. Berapa kali pula ia ditulis di atas kad yang khusus untuk isteri selepas berkahwin?
Perkataan ‘I love you’ banyak kali diucapkan sebelum berkahwin. Berapa kali pula ia diucapkan selepas berkahwin? Perkataan itu juga banyak kali ditulis di atas kad-kad ucapan sebelum berkahwin. Berapa kali pula ia ditulis di atas kad yang khusus untuk isteri selepas berkahwin?
Kita dapati Rasulullah saw ketika pulang daripada satu peperangan ditanya di hadapan khalayak ramai siapakah orang yang paling dicintai oleh baginda? Dengan segera Rasulullah saw menjawab: “Aisyah”, iaitu isteri baginda tanpa perasaan malu dan segan. Kenapa kita tidak melakukannya paling kurang pun di rumah iaitu bukan di hadapan orang ramai dengan berkata kepada isteri ‘I love you!’
Masak apa ni!
Cinta adalah perkataan yang mengandungi sihir. Namun perkataan yang lebih hebat ialah pujian dan berterima kasih atas setiap perkara sama ada kecil atau besar, terutamanya masakan. Wanita atau isteri menganggap makanan yang dimasaknya sebagai menggambarkan dirinya sendiri dan mempunyai kepentingan yang tinggi terutamanya di rumah suaminya.
Diceritakan pada suatu hari seorang wanita kampung menghidangkan setimbun makanan ternakan sebagai ganti daripada hidangan makan tengahari yang biasa dihidangkan kepada kaum lelaki keluarganya. Lalu mereka berteriak dan menjerit dan menyangka wanita itu telah gila. Namun wanita itu menjawab: “Aku berbuat demikian untuk mengetahui kamu semua tahu perbezaan antara makanan binatang dengan makanan manusia. Sudah lebih 20 tahun aku menyediakan makanan bagi kamu, tapi tak pernah aku dengar kamu berterima kasih atau memuji masakanku yang menunjukkan kamu tahu perbezaan antara makanan yang baik dan sedap dengan makanan binatang!!
Wanita, hatinya pada telinganya. Oleh itu, jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih, memuji dan menghargainya.
Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak bersyukur kepada Allah. Isteri adalah orang pertama yang sepatutnya diucapkan terima kasih!!!
Berlemah lembutlah!
Rasulullah saw menyifatkan kaum wanita sebagai botol-botol kaca. Ia adalah sifat paling indah dan paling cantik daripada Rasulullah saw yang bijaksana. Mereka adalah botol-botol yang mudah pecah. Oleh itu, suami wajib bersifat lemah lembut dan penuh kesabaran menghadapi kerenah mereka agar bahtera kehidupan dapat belayar dengan tenang.
Apa yang anda akan lakukan jika situasi berikut berlaku kepada anda?
Pada suatu hari, Rasulullah saw berada bersama-sama dengan para sahabat baginda di rumah Aisyah. Baginda meminta para isteri baginda membawa makanan keluar. Salah seorang isteri baginda membawa makanan keluar lebih cepat daripada Aisyah. Lalu para sahabat terus menjamah makanan tersebut. Kemudian barulah Aisyah datang membawa makanan. Melihatkan makanan telah sedia ada, Aisyah memecahkan bekas makanan yang dibawanya sehingga terpecah dua. Melihatkan apa yang berlaku, Rasulullah saw tersenyum sambil berkata kepada para sahabat: “Ibu kamu cemburu nampaknya.” Lalu baginda mengutip bekas makanan yang pecah dan kembali meletakkan makanan di atasnya serta memberinya makan kepada para sahabat. Kemudian baginda memberikan bekas yang pecah kepada Aisyah dan bekas yang tidak pecah kepada isterinya yang seorang lagi.
Jika situasi ini berlaku kepada anda, apakah agaknya sikap dan pendirian anda ketika berhadapan dengan kawan-kawan anda?
Firman Allah swt (surah al-Ahzab ayat 21) yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”
Heroku!
Suami adalah hero isterinya yang sentiasa berada di dalam khayalannya.
Wahai hero! Bukalah hati anda agar isteri anda dapat tinggal di dalamnya. Jadikanlah dia melihat kegembiraan (iaitu kerahmatan dan kasih sayang) di dalam mata anda. Jadikanlah dia melihat kerehatan ketika anda menghulurkan lengan anda kepadanya dan ketika anda meluahkan kata-kata melalui bibir anda. Dia meninggalkan rumah keluarganya hanya kerana mahu mendapatkan kasih sayang, menambat hati dan perhatian anda. Oleh itu, jadilah heronya sebagai yang dia impikan.
Ingatlah tarikh ulang tahun perkahwinan anda dan hari lahir isteri anda. Berilah hadiah kepadanya walaupun amat sederhana yang menggambarkan kecintaan mendalam anda kepadanya.
Janganlah anda menjadi seorang lelaki yang mempunyai dua muka. Anda dapat bersuka ria dan bergelak ketawa di luar rumah, tetapi masam mencuka di dalam rumah! Ini akan menjadikannya benci setiap hari dia melihat anda. Ini adalah satu perkara yang tidak seharusnya berlaku. Ingatlah hadis Rasulullah saw yang bermaksud: “Senyuman anda kepada saudara anda adalah sedekah.” Maka bagaimana jika senyuman itu diberikan kepada isteri!
Kunci Paling Penting
Antara kunci paling penting dalam menuju jalan kebahagian rumah tangga ialah berbuat baik kepada keluarga isteri terutama mertua.
Keluarga isteri anda telah mendidik isteri anda, menjaganya dan mengajarnya sehingga anda mengambilnya sebagai isteri. Maka berbuat baik kepada mereka pasti akan memberikan kesan kepada kehidupan anda. Dari sudut syarak, anda tidak dibenarkan memutuskan hubungan antara isteri anda dan keluarganya, kerana ia bererti memutuskan silaturrahim dan menderhaka kepada kedua ibu bapanya.
Firman Allah swt (surah Muhammad ayat 22) yang bermaksud: “Adakah jika kamu dapat memegang kuasa, kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat?”
Hendaklah anda mengambil perhatian tentang perkara ini dengan niat untuk menyambung silaturrahim manakala isteri anda mengambilnya dengan niat memenuhi kewajipan berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Tanyalah diri anda, adakah isteri anda akan menyayangi anda jika anda tidak membenarkan dia menyayangi keluarganya? Maka kunci penting yang menjamin kebahagiaan kehidupan berumah tangga anda ialah anda menghargai keluarganya, memuji mereka atas setiap kebaikan yang mereka lakukan, menghubungi mereka setiap masa dan lain-lain lagi. Ingatlah selalu sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Orang yang paling baik di kalanganmu ialah orang yang paling baik kepada keluarganya.”
Hendaklah anda mengambil perhatian tentang perkara ini dengan niat untuk menyambung silaturrahim manakala isteri anda mengambilnya dengan niat memenuhi kewajipan berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Tanyalah diri anda, adakah isteri anda akan menyayangi anda jika anda tidak membenarkan dia menyayangi keluarganya? Maka kunci penting yang menjamin kebahagiaan kehidupan berumah tangga anda ialah anda menghargai keluarganya, memuji mereka atas setiap kebaikan yang mereka lakukan, menghubungi mereka setiap masa dan lain-lain lagi. Ingatlah selalu sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Orang yang paling baik di kalanganmu ialah orang yang paling baik kepada keluarganya.”
Kejutan Membikin Mukjizat
Pembaharuan yang anda lakukan terhadap rutin kehidupan dan layanan kepada isteri anda akan meningkatkan kemanisan kehidupan sebagai suami isteri.
Rasulullah saw adalah ikutan kita dalam semua hal. Baginda saw pernah berlumba lari bersama Aisyah. Baginda juga pernah mandi daripada bekas yang sama dengan isteri baginda yang bernama Maimunah. Mereka saling merenjiskan air di antara satu sama lain. Tangan mereka berlaga di dalam bekas air. Baginda juga pernah meminta pandangan Ummu Salamah dalam salah satu perkara yang amat penting… Anda pula, apakah yang anda lakukan?
Keluarlah berdua-duaan seminggu sekali sekurang-kurangnya. Berbincanglah bersama-sama tentang apa saja. Bawalah isteri anda sesekali ke masjid bagi mendengar pengajian agama, kemudian pergilah makan malam bersama-sama di luar rumah.
Selalulah memberikan kad ucapan kepada isteri. Tulislah perkataan-perkataan lembut dan kata-kata cinta di atas kad tersebut. Atau lekatkan pada almari cermin ayat-ayat seperti ‘abang amat bahagia hidup bersamamu’, ‘sayang adalah hadiah paling berharga dalam kehidupan abang, ‘pandangan matamu menikam kalbuku’ dan lain-lain perkataan yang boleh anda cipta dan reka.
Kewajipan
• Panggillah isteri anda dengan panggilan yang paling disukainya.
• Kucuplah dia setiap kali sebelum anda keluar rumah untuk pergi bekerja dan setiap kali pulang ke rumah diiringi perkataan yang manja, kerana perbuatan tersebut akan mengekalkan kasih sayang.
• Berusahalah agar anda keluar berdua-duaan dengan isteri serta memberikannya hadiah yang sesuai.
• Pergilah bersama isteri anda menziarahi keluarganya sebulan sekali.
• Jika isteri anda sakit, jadilah anda orang pertama yang menghantarnya ke klinik. Suapkanlah ubat untuknya dan jangan sekali-kali anda meninggalkannya ketika dia sakit.
• Ketika melakukan hubungan, berikanlah perhatian yang lebih untuk menyentuh dan membelai isteri anda dengan sentuhan-sentuhan yang lembut serta membisikkan perkataan-perkataan yang manja, lebih daripada perkara-perkara lain.
• Awaslah anda daripada bersifat kedekut sama ada kedekut harta atau perkataan. Janganlah anda mengintip, mempunyai perasaan syak dan ragu, banyak bersungut, suka mengherdik dan bermuka masam.
Ustaz Mohamad bin Ismail
Sekretariat Pembangunan Belia ISMA Pusat
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
**dipetik dari blog nursyirah, artikel lama utk renungan bersama**
Sekretariat Pembangunan Belia ISMA Pusat
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
**dipetik dari blog nursyirah, artikel lama utk renungan bersama**
No comments:
Post a Comment